
Kontroversi melanda rumah tangga pasangan selebriti, Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof secara tidak langsung membuatkan nama aktor kacak, Edika Yusof kembali menjadi bualan netizen di media sosial.
Mana tidaknya, pelakon berusia 55 tahun itu terus memilih untuk setia dengan pasangannya Nor Hidayah Yusri meskipun wanita tersebut mengalami lumpuh separuh badan kira-kira sejak 18 tahun lalu.
Seorang pengguna aplikasi TikTok, @eyka_talib memuat naik satu video umum menitipkan pesanan agar golongan suami dapat menjadikan kesetiaan Edika sebagai contoh dalam melayari alam perkahwinan.
“Jadilah seperti Edika Yusof yang sentiasa ada dengan isterinya yang lumpuh. Isteri dia suruh kahwin lain pun tak nak.. sentiasa jaga isterinya macam bidadari.
“Masih lagi wujud lelaki sejati zaman sekarang ni,” tulisnya semalam yang turut meletakkan tanda pagar ‘Puteri Sarah Liyana’.
Mengimbas kembali kenyataan Edika sebelum ini, aktor popular era 90-an itu enggan bersikap curang terhadap isteri walaupun sering kali digoda oleh wanita lain.
“Sepanjang berkahwin, saya tak pernah menyorokkan sebarang perkara daripada pengetahuan isteri. Saya akui, cabaran amat besar apabila bergelar pelakon. Sentiasa ada wanita yang cuba mendekati saya.
“Sejak mula isteri sakit, saya sering menerima panggilan daripada wanita. Sampai sekarang masih ada yang menghantar mesej langsung dalam laman sosial…
“…tetapi saya tidak melayannya. Ada antara mereka yang berani menghubungi saya, tetapi saya akan menyerahkan telefon kepada isteri untuk menjawabnya,” katanya menerusi laporan BH Online pada Februari 2021.
Sementara itu, Nor Hidayah sebelum ini ada berkongsi dimana pernah meminta suaminya untuk berkahwin lain atas faktor bebanan tetapi pelakon filem Maria Mariana itu kekal setia bagi menjadi ketua keluarga.
“Ada kala memang terasa juga dirinya membebankan dia. Tipulah kalau kata tak pernah rasa ‘down’ tu apabila melihat suami terpaksa bersusah-payah kerana kita.
“Ya, saya pernah suruh dia kahwin lagi, namun jawab Edika, untuk apa tambah masalah lagi? Cukuplah satu wheel chair ini saya tolak.
“Kalau ditakdirkan isteri kedua pun sakit, saya perlu juga tolak wheel chair kedua ke?” ujar wanita berusia 44 tahun itu menerusi laporan Astro Gempak.
Terdahulu, Nor Hidayah menghidap penyakit meningitis sehingga menyebabkannya koma, bisu, hilang deria pendengaran selama setahun, diikuti lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua.
Untuk rekod, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, 22, Fardeen Nasrulhaq, 18, dan Fereena Nurulhaq, 17.
Edika Yusof bercerita punca isterinya lumpuh!
Seminggu selepas isteri melahirkan anak kedua kami (12 tahun lalu) dia diserang demam panas yang mengakibatkannya terkena sawan. Dan serangan sawan itu berpunca daripada meningitis yang mengakibatkan jangkitan kuman pada otak. Pihak hospital terpaksa meletakkan keadaan isteri dalam koma selama sembilan hari di Unit Rawatan Rapi (ICU). Menurut doktor yang merawat ketika itu, jika dia kuat dia akan sedar dan jika sebaliknya maka tiadalah masa depan baginya.
Dalam masa sama, anak kedua kami yang baru dilahirkan terpaksa diletakkan di wad NICU kerana kelahiran pra-matang dan komplikasi lain termasuk paru-parunya belum develop dengan baik. Bayangkan sahajalah situasi saya ketika itu apabila perlu berulang-alik menjaga anak (di tingkat satu) dan isteri (di tingkat dua) di hospital yang sama. Alhamdulillah selepas seminggu, anak saya dibenarkan keluar hospital.
Isteri saya masih tidak sedarkan diri dan hanya selepas sembilan hari barulah dia kembali sedar. Namun, semua ingatannya lumpuh seperti lumpuhnya bahagian dada hingga ke kakinya (hingga hari ini). Dia gagal mengingati semua bahawa kami telah berkahwin dan mempunyai anak. Juga tidak kenal ahli keluarga, saudara- mara dan rakan-rakan.
Dia ditahan di wad selama tiga bulan. Dan selama itulah saya berkejar-kejar, ulang-alik ke hospital. Pergi hospital pada waktu pagi dan pulang ke rumah pada waktu malam. Begitulah rutin harian saya selama tiga bulan. Selain lumpuh, bahagian muka sebelah kanan diserang strok. Mata hitamnya juga teralih – sebelah kiri dan sebelah kanan.
Dia juga mengalami masalah pendengaran yakni tidak dapat mendengar seperti orang normal. Dan keadaan ini berlanjutan selama enam bulan. Sepanjang tempoh itu, dia tidak mampu bertutur dan hanya menggunakan pen atau pensel untuk menulis. Kemudian, terdapat back sore yang besar sehingga menampakkan tulang. Selera makannya juga kian merosot.
Hanya makan lima camca nasi sahaja dan rentetan itu tubuhnya semakin kurus dan cengkung kerana tiada selera makan. Dan memandangkan tiada apa yang boleh dilakukan oleh doktor, maka saya bawa isteri keluar hospital dan mencuba rawatan alternatif.
Hingga hari ini saya masih menjaganya sepenuh masa. Mendukungnya ke bilik air, angkatnya kemudian diletakkan di kerusi roda, menyalin lampin itu dan ini. Alhamdulillah isteri saya menampakkan perubahan. Sekurang-kurangnya dia boleh mengangkat tangan tetapi anggota badan yang lain masih tidak berfungsi dan tidak mempunyai deria rasa. Dan kini dia boleh mengendalikan soal rekaan dan sering menggunakan komputer riba. Syukur juga kerana ingatannya kini sudah pulih sepenuhnya berbanding awal kejadian dahulu.
Menurut doktor, penyakitnya tiada penawar atau ubat yang spesifik untuk memulihkan keadaannya. Hal ini kerana ia melibatkan neuro dan bahagian otak. Umpamanya otaknya tidak berfungsi untuk menyampaikan mesej juga menggerakkan anggota tubuh yang lain (dari bahagian dada ke bawah). Sama ada sakit atau tidak, dia tidak terasa. Hanya suku badan sahaja yang ‘hidup’.
Alhamdulillah walaupun keadaan isteri saya sebegitu tetapi jiwanya kuat dan semangatnya tinggi. Rentetan itulah saya tidak lagi berlakon dan menerima undangan peragaan. Setahun saya tidak bekerja.
Sumber: TikTok @eyka_talib, BH Online (Serimah Mohd Sallehuddin), Astro Gempak (Afiza Kamarulzaman), Instagram Edika Yusof
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:
Jangan lupa like di bawah atau follow page kami. Terima Kasih
Leave a Reply